surat berantai...satu dosa besar.....

Friday, September 24, 2010

Soalan 1

Ustaz, saya ada menerima surat berantai yang pada amnya mengajak kita bertakwa kepada Allah.
Tetapi di akhir surat itu ada diceritakan berkenaan kisah orang yang mendapat bala kerana tidak
menyebarkan sebanyak 20 salinan kepada orang lain. Apa pandangan ustaz?

Soalan 2

Baru-baru ini saya ada menerima e-mail yang mengandungi surat berantai. Di dalamnya
menceritakan tentang wasiat seorang alim dari Madinah. Di akhir surat tersebut di suruh
sesiapa yang membacanya supaya disampaikan kepada orang lain sebanyak 20 salinan dalam masa
2 minggu. Sekiranya dilakukan akan dikurniakan oleh Allah sesuatu hajat atau niat. Dan apabila
tidak dilakukan akan terjadi sesuatu perkara yang buruk. Apakah hukumnya mempercayai surat ini?
Dahulu ia diedarkan dengan membuat salinan Photostat tetapi kini ia diedarkan melalui internet.
Mungkin pihak AnNur dapat memberikan jawapan yang tepat kepada masalah ini supaya saya
dapat edarkan kepada rakan-rakan saya yang masih mengedarkan risalah ini.


Jawapan

Setelah diamati, ada beberapa perkara yang boleh dikupas dari surat itu.
Pertama dari segi isi. Kebatilannya terbukti apabila surat ini mendakwa Sheik Ahmad bertemu
Rasululllah ( s.a.w) dalam mimpi dan memberi pesanan kepadanya. Seolah-olah belum selesai
tablighnya.

Kita ketahui bahawa dalam khutbah terakhir ketika haji wida', Rasulullah s.a.w telah bersabda
"Telah sempurna bagimu agamamu" yang membawa maksud bahawa tiada lagi wahyu atau ugama
yang akan turun selepas itu. Mahu ikut yang mana? Surat ini kah atau AlQuran?

Kedua dari segi arahannya. Sekiranya kita percaya bahawa dengan mengedar 20 keping surat
ini akan membawa rezeki atau kebaikan dan sebaliknya sekiranya tidak maka kita kan ditimpa
bencana maka secara tidak langsung, kita percaya bahawa ada lagi kuasa selain Allah SWT.

Ini akan menjadikan kita syirik. Na'uzubillah. Sheik Ahmad yang dikira kuat iman ini pula
sanggup mati dalam kufur. Seseorang yang berilmu, warak, alim dalam soal agama tidak akan
mempertaruhkan imannya untuk apa sekalipun. Saya berpendapat surat ini adalah satu dakyah
untuk memesongkan aqidah umat Islam.

Mari kita kaji pula niat disebalik surat berantai ini. Ia mengandungi isi yang menceritakan tentang
Sheik Ahmad yang kononnya bertemu Rasulullah s.a.w dalam mimpinya. Rasulullah s.a.w
kononnya memberi satu statistik yang tujuannya menakutkan pembaca yang memang tiada cara
untuk membuktikan kesahihannya. 60,000 orang akan mati tanpa iman, apa maksudnya? Adakah
orang yang ke 60,001 akan beriman? Setelah itu diselitkan nasihat supaya pembaca yakin bahawa
surat ini berniat baik. Kemudian datang ugutan. Sekiranya tidak diedar 20 salinan, mendapat bala.
Untuk meyakinkan pembaca, penulis rela kufur sekiranya isi surat ini adalah palsu. Untuk
menambahkan lagi keyakinan pembaca, diturunkan pula beberapa contoh yang menjurus kepada
perkara diatas.

Tentunya susah untuk menentukan kesahihan cerita tersebut. Cuma setahu saya, Allahyarham
Tan Sri Ghazali Jawi tidak dibuang kerja tetapi meletak jawatan kerana mahu aktif dalam politik.
Kalau ada yang rapat dengan keluarga Allahyarham atau keluarga Datuk Tajul Rosli, mungkin
boleh sahkan hal ini. Tentunya muslim yang rapuh imannya akan terpengaruh dengan dakyah sebegini.

Jika tak dihiraukan maka semacam ada keresahan dalam hati seolah-olah menanti bencana yang
dijanjikan. Maka dengan keresahan inilah syaitan dapat menakluk hati kita. Dicekiknya tubuh
kita sehingga sakit, maka kita teringat akan surat wasiat tersebut, dan kita edarkan. Syaitan akan
melepaskan cekikannya ketika itu kerana dia telah berjaya memesongkan aqidah kita.

Maka kita berjalan pula dimuka bumi Allah ini dan menceritakan pengalaman kita tadi, dan
ada pula hamba Allah memasukkannya kedalam Internet. Kesimpulannya, janganlah percayakan
surat tersebut dan selagi ada umat yang percayakannya maka ianya tetap akan beredar hingga
bila-bila, kerana seingat saya, surat ini telah beredar sejak saya disekolah rendah lagi dan
mungkin bermula berpuluh-puluh tahun sebelum itu. Dari Penerangan diatas jelaslah mempercayai
surat wasiat tersebut adalah haram .

Wallahu'allam.

Jika anda ingin tahu dari siapakah bermulanya surat berantai yang kononnya dari Sheikh Ahmad
yang bermimpi bertemu Rasulullah didalam mimpinya, bacalah keterangan dibawah ini:-

Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan 1978
SURAT SHEIK AHMED PALSU, KHURAFAT DAN BOLEH MENJATUHKAN MURTAD

Majlis Fatwa Kebangsaan 1978 mengesahkan surat ini ditulis oleh paderi-paderi biara Blessings
of St Antonio, Texas, USA pada tahun 1974/75 untuk mengelirukan umat Islam. Penulis asal surat
ini ialah mendiang Father Francis Jose de Villa, seorang paderi Katolik dari Argentina berketurunan
Arab-Syria (bekas penganut Islam, nama asalnya Mohamed Elias Skanbeg).

Dia pernah bertugas di Instituto Sacristo Convocione Reliogioso di Brindisi, Itali sebagai mubaligh
Katolik antara tahun 1966-1968 di bawah Cardinal Agostino Casaroli. Father de Villa meninggal
dunia pada tahun 1980 di Texas dalam usia 54 tahun .

Menurut Allahyarham Sayyed Mohamed Raisuddin Al-Hashimi Al-Quraisy, penjaga makam Rasulullah SAW
di Madinah antara tahun 1967-hingga 1979, tidak ada penjaga makam bernama Sheik Ahmad antara
tahun 1881 hingga 1979.

Penjaga makam di Madinah ialah: Sayyed Turki Abu Mohamed Abdul Razaque
Al-Hashimi Al-Quraisy (1881-meninggal dunia 1932), anaknya Sayyed Hashim Abu Faisal Abdul Jalil
Al-Hashimi Al-Quraisy (1932-meninggal dunia 1934), adiknya Sayyed Abdul Karim Mutawwi Al-Hashimi
Al-Quraisy (1934-bersara 1966) dan anak saudaranya Sayyed Mohamed Raisuddin bin Mohamed
bin Abdul Razaque Al-Hashimi Al-Quraisyi (1967-meninggal dunia 1979).

Bekas menteri besar Perak Allahyarham Tan Sri Mohamed Ghazali Jawi bertaubat dan mengucap
kalimah syahadat sekali lagi di hadapan Kadi Daerah Kinta pada tahun 1976 setelah beliau mengaku
pernah menerima dan mengirim surat ini kepada dua puluh orang kawannya.

Peristiwa ini berlaku tidak lama sebelum beliau meninggal dunia. Bekas Kadi Daaerah Kinta meminta
beliau mengucap semula kerana bimbang beliau telah gugur syahadah (murtad).

Allahyarham Datuk Shafawi Mufti Selangor mengisytiharkan bagi pihak Majlis Fatwa Kebangsaan
bahawa barang siapa dengan sengaja menyebarkan risalah ini adalah "melakukan syirik dan tidak
mustahil jatuh murtad melainkan dia bertaubat dan menarik balik perbuatannya itu terhadap sesiapa
yang telahpun dikirimkan risalah ini".
( Surat Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia Bil. 7/78/I).

Keputusan ini diiktiraf oleh Majlis Raja-raja Melayu dalam mesyuaratnya di Pekan pada 16 Oktober 1978,
dipengerusikan oleh Almarhum Sultan Idris Shah, Perak. Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan 1978,
menyebar surat ini "termasuk dalam menyekutukan Allah S.W.T. dengan syirik yang amat
besar (shirk-i-kubra) serta mempermainkan Rasulullah S.A.W. serta menyebar dengan niat tidak baik
kekeliruan dan muslihat di kalangan umat Islam.".

Lagipun," surat ini menggambarkan pembohongan yang amat besar terhadap junjungan besar
Nabi Muhammad S.A.W. serta ajaran baginda kerana menggambarkan SHEIK AHMAD sebagai
perawi hadith sesudah kewafatan baginda".

Allahyarham Datuk Sheik-ul-Islam Mufti Kedah dalam Risalat Al-Aman 1983/Bil 8,
surat ini "paling kurang menimbulkan syirik kecil dan murtad secara tidak sengaja terkeluar
dari Islam, serta syirik yang besar jika sengaja maka taubatnya tidak sah melainkan dibuat dengan
sesungguhnya. Adapun jika seseorang itu menyalin surat ini kepada umat Islam lain, jatuhlah hukum
ke atasnya mentablighkan perkara syirik dan khurafat.

Sesungguhnya ulamak sependapat perbuatan itu sungguh besar syiriknya dan boleh mengakibatkan
murtad walaupun tanpa sadar si-pengirim".


sumber: www.bicarasufi.com

0 komen dr penyibuk:

Post a Comment

 
Design by Pocket Blogger Templates